NASIONAL

KPPKTMB sambut baik pembubaran SPAD

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menzahirkan rasa gembira kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahaathir Mohamad yang mengambil keputusan menghapuskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang membubarkan SPAD dan mengembalikan peranannya kepada Kementerian Pengangkutan (MoT).

“Keputusan ini mencerminkan kerajaan hari ini amat memahami dalam mewujudkan sesuatu perkara haruslah melihat kepada kepentingan rakyat dan negara.

“Usaha perlu dilihat agar tidak berlaku pertindihan tugas di antara kementerian dengan kementerian lain kerana ia bakal menimbulkan banyak kesan kepada mereka yang terlibat serta mewujudkan birokrasi sistem dalam tercetusnya idea SPAD ini.

“Oleh itu, kesatuan merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memperakui dan bersetuju membubarkan SPAD sekali gus meletakkan fungsinya seperti ketika dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Abdul Razak turut bersetuju dengan tindakan kerajaan menghapuskan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) di bawah Pejabat Perdana Menteri.

“Apa yang kami lihat ia bukanlah satu pelan transformasi tetapi sebaliknya menyusahkan kepada yang terlibat iaitu pengguna kepada sistem pelan transformasi ini,” katanya.


Pengarang :