NASIONAL

Kunjungan hormat Modi, ucap tahniah kepada PM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat pertama daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Modi membuat persinggahan ke Malaysia bagi menyampaikan ucapan selamat dan tahniah secara peribadi kepada Dr Mahathir atas kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Beliau yang tiba sekitar jam 11.35 pagi itu merupakan pertemuan pertama mereka walaupun Modi pernah ke Malaysia dalam lawatan pertama, pada 23 November 2015.

Persinggahan singkat itu juga dijangka, Modi akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Bernama.

Terdahulu, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, pertemuan pemimpin kedua negara itu menunjukkan keutuhan perhubungan Malaysia dan India yang terjalin sejak sekian lama.

“Ia juga menunjukkan komitmen teguh kedua negara bagi mengukuhkan lagi perkongsian strategik.

“Malah, ia adalah pertembungan fikiran antara dua rantau demokrasi yang penting,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia dan India menikmati hubungan erat menerusi jalinan budaya dan sejarah serta pelbagai bidang utama terutamanya pembangunan infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.

India merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah dagangan RM61.43 bilion, pada 2017.


Pengarang :