NASIONAL

Kunjungan Tun Daim, sokongan moral PAKATAN tawan Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Kunjungan Tun Daim Zainuddin ke sebuah program ceramah Pakatan Harapan (PAKATAN) dianggap sebagai sokongan moral bekas Menteri Umno itu, kepada komponen Pembangkang.

Naib Presiden gabungn itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia menjadi batu loncatan terpenting kepada gabungan itu untuk terus melawan kepimpinan rasuah, di Putrajaya.

“Saya tidak tahu pun kemunculan Tun Daim malam itu (semalam), dan hanya pada saat akhir baru saya bertemu beliau.

“Tentunya saya gembira kerana beliau merupakan tokoh besar dalam negara yang pernah duduk di jawatan terpenting dalam Kerajaan juga pernah dalam Umno sekian lama.

“Kini beliau sanggup terjun bersama PAKATAN dan memberikan sokongan moral walaupun tidak secara langsung dalam parti-parti pembangkang.

“Kehadiran beliau sangat memberi sokongan kuat kepada perjuangan kami dan saya amat gembira kerana ini akan memberikan dokongan kepada saya untuk bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada Program Kebajikan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Gombak, petang ini.

Tun Daim dilapor hadir ke ceramah umum Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) di Telok Gong Pelabuhan Klang, Kampung Bukit Kapar, Sementa, semalam.

Kehadiran Tun Daim turut dikongsikan Mohamed Azmin menerusi catatan di Twitternya, lewat malam tadi.

Ia turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial, dan mencetuskan spekulasi dalam kalangan penganalisis politik kini.

Tun Daim pernah dilantik sebagai Menteri Kabinet Umno oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad pada 1984.

Pada 1991, beliau berundur daripada kabinet selepas merasakan ekonomi Malaysia benar-benar teguh ketika itu.

Tidak lama selepas itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 31 Mei 2001.

=EZY=


Pengarang :