SELANGOR

Kurang belanja usaha pulih ekonomi negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 MEI: Tindakan Kerajaan Persekutuan mengurangkan perbelanjaan, termasuk membubarkan beberapa agensi dan institusi tepat pada masanya dalam usaha memulihkan ekonomi serta memperkasakan negara.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, langkah itu adalah fundemantal dan penting dengan kerajaan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu serta menyediakan biaya kepada perkara lebih memerlukan.

“Bukan satu keajaiban untuk kita sedari mengapa arahan pertama dikeluarkan kerajaan baharu adalah menghapuskan semua agensi ini dalam usaha menjadikan Malaysia lebih baik dengan kelebihan daya berbelanja daripada potongan bagi pembangunan.

“Ramai mempersoalkan tatkala peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) meningkat tetapi bidang kesihatan, pendidikan dan pelbagai peruntukan penting lain dipotong.

“Namun seperti dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tekanan perlu dihadapi kerajaan adalah menyelamatkan wang negara dan bukan melunaskan dendam, maka jika perancangan terlaksana, Malaysia diyakini akan kembali gagah pada peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu berkata, semua pemotongan diumum perdana menteri amat besar nilainya kerana turut membabitkan JPM dengan beberapa agensi dibubarkan berada di bawah jabatan berkenaan.

Pada 23 Mei lalu, Tun Dr Mahathir selepas mempergerusikan mesyuarat pertama kabinet mengumumkan pembubaran empat agensi iaitu Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Manakala Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) pula, katanya, dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

 


Pengarang :