SELANGOR

Lagi kubu Umno ditembusi, kali ini Sungai Pelong

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Satu lagi kawasan yang disifatkan sebagai kubu kuat Umno berikutan kemenangan besar parti teras Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu berjaya ditembusi.

Calon kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, hal ini berikutan sambutan baik diterimanya ketika menyantuni golongan ibu bapa di luar Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong, hari ini.

“Semasa saya edarkan risalah tadi, sambutan yang diberikan jauh berbeza di mana ini menunjukkan mood pengundi khususnya pengundi Melayu ketika ini yang semakin menerima kita.

“Saya yakin kali ini kita boleh menang di kawasan dikuasai Melayu seperti Sungai Pelong yang dahulunya kita kalah,” katanya selepas menghadiri program mengedar risalah kepada para ibu bapa yang mengambil anak masing-masing di Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong di sini, hari ini.

Jelasnya, pengundi Melayu menguasai kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sungai Pelong.

Katanya, pada PRU12 dan PRU13 KEADILAN tewas di kesemua saluran mengundi di Sungai Pelong dengan memperolehi antara 40 hingga 45 peratus undi di kawasan itu berbanding Barisan Nasional (BN) kira-kira 55 hingga 60 peratus undi.

“Pagi tadi juga, saya mengadakan ‘walkabout’ di Bandar Baru Sungai Buloh. Kebanyakkannya penduduk ditemui adalah Melayu di mana sambutan mereka sangat baik dan saya sempat bercakap dan bersalaman dengan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman turut diberikan sambutan hangat masyarakat Kampung Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Hulu dan Taman Saujana Utama di mana sebelum ini dikuasai Umno.


Pengarang :