GLOBAL

Lahar gunung berapi ‘telan’ jalan raya di Hawaii

PAHOA, Hawaii 27 MEI: Aliran batu cair kelmarin menukar sebatang jalan di Hawaii menjadi padang vulkanik ketika jumlah kediaman yang musnah akibat letusan Gunung Kilauea melonjak, manakala penduduk diminta menyelamatkan diri daripada lahar yang mengalir ke arah mereka.

Kemusnahan akibat letusan gunung berapi itu berlaku di kejiranan Leilani Estates, Pulau Besar dengan bilangan kediaman dan struktur lain yang musnah meningkat kepada 82 berbanding 50 sebelum ini, demikian menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan.

Kawasan seluas sekitar 890 hektar hangus dibakar lahar sejak 3 Mei lalu susulan letusan Kilauea yang dianggap paling dahsyat dalam tempoh lebih 100 tahun

“Lapan buah rumah di jalan ini musnah dalam masa 12 jam,” kata seorang penduduk tempatan, Ikaika Marzo dalam klip video di Facebook yang menunjukkan dia berdiri di Jalan Kaupuli itu sambil menunjukkan padang lahar berwarna hitam dan licin seperti kaca.

“Mana-mana penduduk yang masih berada di kawasan terjejas perlu berpindah sekarang,” kata Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hawaii.

Magma atau batu cair mengalir dari rekahan-rekahan besar di sekitar Kilauea dengan dua aliran panas itu sampai ke Lautan Pasifik sejauh 5 kilometer.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :