BERITA UTAMANASIONAL

Laungan Reformasi sambut pembebasan Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras disambut laungan reformasi penyokongnya.

Bekas ketua pembangkang itu dibebaskan tepat jam 11.30 pagi, selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V.

Anwar diiringi isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pimpinan kanan KEADILAN, pagi ini.

Antara yang hadir menemani beliau, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan kenyataan lanjut berhubung pembebasannya.

Sebelumnya, berlaku insiden tolak-menolak dan kekecohan membabitkan orang awam serta petugas media.

Sementara itu, Anwar dijangka mengadap YDPA, di Istana Negara, pada jam 12.30, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pertemuan di Istana Negara itu dibuat sebagai penghargaan menjunjung kasih Anwar kepada YDPA atas pembebasannya.

Anwar dijangka akan mengadakan sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, pada jam 4 petang ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Kabinet itu dipenjara atas pertuduhan Fitnah II dan menjalani hukuman penjara lima tahun, di Sungai Buloh.


Pengarang :