NASIONAL

Lembah Jaya untuk PAKATAN demi kebajikan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 2 MEI: Rakyat perlu terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor supaya segala program pembangunan dapat diteruskan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Calon PAKATAN bagi Parlimen Ampang, Zurraida Kamaruddin berkata, hanya parti yang mentadbir kerajaan mampu merealisasikannya maka rakyat perlu memberi kepercayaan kepada PAKATAN yang telah membuktikannya.

“Urusan menjadi lebih mudah jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dikembalikan kepada PAKATAN juga saya di peringkat Parlimen.

“Hanya melalui wakil rakyat di bawah parti sama termasuk Kerajaan Negeri, akan memudahkan segala urusan dan rakyat berhak memperleh manfaat daripadanya,” katanya dalam program bertemu penduduk di Pangsapuri Sri Nilam di sini, semalam.

Sehubungan itu, Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, sokongan perlu diberikan kepada Haniza Talha yang menjadi calon PAKATAN di DUN Lembah Jaya.

Masalah kebanjiran warga asing di Ampang termasuk Lembah Jaya adalah isu besar yang masih tidak mampu ditangani kerana ia di bawah pentadbiran berbeza iaitu kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN).

“Saya sering membangkitkan isu ini ketika sidang Parlimen tetapi tidak mendapat perhatian BN dan kini jumlah warga asing di sini antara tertinggi di negara ini.

“Kita perlu mengubah perkara ini dengan rakyat memberi sokongan kepada PAKATAN dalam PRU nanti,” katanya.

=EZY=


Pengarang :