NASIONAL

Letak Prabakaran, tak mahu BN menang mudah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 5 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik penyertaan calon bebas, P. Prabakaran yang menggunakan simbol kunci untuk bertanding di kerusi P.115 Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, pembabitan calon muda dengan itu penting bagi memastikan Parlimen Batu kekal bersama Pakatan Harapan (HARAPAN), sekali gus meranapkan impian Barisan Nasional (BN) merampas kerusi terbabit.

Katanya, keputusan itu juga bagi memastikan BN tidak menang secara mudah di Batu.

“Yang pasti, kita tidak mahu BN menang mudah di Batu kerana Tian Chua telah dinafikan haknya untuk bertanding pada pilihanraya kali ini.

“Kita tiada pilihan lain untuk memastikan Batu kekal bersama PAKATAN, melainkan dengan meletakkan calon yang boleh mewakili suara rakyat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program Sarapan Pagi, di Tasek Tambahan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menyifatkan kepimpinan BN sememangnya gagal untuk mendengar keluhan dan membawa suara rakyat.

“Jadi, atas sebab apa rakyat perlu undi dan sokong BN kalau suara rakyat pun mereka tak boleh bawa,” katanya.

Keputusan meletakkan Prabakaran di Parlimen Batu dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan calon PAKATAN, Tian Chua bagi menyemak semula keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kelayakannya sebagai calon kawasan berkenaan.


Pengarang :