SELANGOR

LRA Langat 2 bakal beroperasi segera

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Projek Loji Rawatan Air (LRA) 2 dijangka dapat beroperasi dalam masa terdekat, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, loji itu sudah siap sepenuhnya namun berdepan beberapa kekangan yang membataskan ia daripada beroperasi mengikut waktu ditetapkan ekoran tindakan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Projek ini sebenarnya sudah siap, saya sudah menghadiri taklimat mengenainya (semalam), kita cuma mahu mengepam air dari Projek Penyaluran Air Mentah Pahang – Selangor (PAMPS) tetapi terhalang sehingga kini.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan kerajaan yang baharu ini, LRA Langat 2 dapat beroperasi dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis bacaan yasin dan berbuka puasa bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

Mohamed Azmin berkata, kementeriannya akan menyediakan kertas jemaah menteri bagi dibentangkan kepada Kabinet kelak.

“Ia bertujuan untuk Kabinet meneliti semula keputusan bagi memulakan operasi loji terbabit yang tertangguh semasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya.


Pengarang :