SELANGOR

LZS agih RM35.1 juta kepada asnaf

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LANGAT, 12 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengagihkan RM35.1 juta kepada 44,246 keluarga asnaf fakir dan miskin serta 5,777 mualaf, di seluruh negeri.

Agihan itu bagi membantu golongan terbabit membuat persiapan awal sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, RM9.5 juta diagih kepada 12,528 asnaf fakir, RM23.5 juta kepada 31,718 asnaf miskin dan RM2.1 juta kepada 5,777 asnaf mualaf.

“Setiap penerima menerima bantuan antara RM550 dan RM1,000 bergantung kepada tanggungan.

“Bantuan ini diagihkan sama ada menerusi kredit ke akaun bank atau menggunakan kaedah V-Cash (baucar tunai),” katanya ketika berucap dalam majlis Serahan Bantuan Ramadan & Raya Perdana 2018 di Universiti Mahsa, Saujana Putra Kampus, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,000 pelajar asnaf lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Karnival Pendidikan dan Kerjaya LZS yang diadakan, pada sebelah pagi.

Abdul Basith berkata, daripada 800 pelajar yang memohon, seramai 500 berjaya menerima surat tawaran bantuan biasiswa secara terus kepada mereka yang membuat pilihan.

Katanya, karnival yang mendapat kerjasama Universiti Mahsa itu mensasarkan pelajar yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit ke bawah dan tidak dapat melanjutkan pengajian ke mana-mana institut pengajian tinggi awam atau swasta (IPTA/S).

“Hal ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan menawarkan pelbagai kursus berasaskan kemahiran bersesuaian minat dan keputusan.

“Sebanyak 40 IPTS dan institut latihan kemahiran (awam dan swasta) menyertai karnival ini bagi memudahkan pelajar asnaf mendapat maklumat secara terus,” katanya.

Turut berlangsung, majlis penyerahan replika bantuan melalui Program Kasihku Zakat Selangor daripada Worldwide Holdings Berhad dengan agihan RM127,597.96 dan Sirim Berhad sebanyak RM10,000.


Pengarang :