AGAMASELANGOR

LZS agihkan RM35.1 juta bantuan zakat kepada asnaf

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengagihkan sebanyak RM35.1 juta bantuan zakat untuk keluarga asnaf fakir, miskin dan muallaf di Negeri Selangor sempena bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Mohamed Khusrin Munawi berkata, daripada jumlah itu, RM9.5 juta diagihkan kepada 12,528 keluarga asnaf fakir, RM23.4 juta kepada 31,718 keluarga asnaf miskin manakala RM2.1 juta kepada 5,777 penerima asnaf muallaf.

“Seperti yang diperkenankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, kadar zakat fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam Negeri Selangor pada tahun ini adalah RM7, sama seperti tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, pembayar zakat fitrah pada tahun ini digalakkan supaya membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan.

“Beras Super Special Tempatan 5% dengan harga RM7; Beras Putih Import, Beras Perang dan Beras Pulut dengan harga RM14 manakala Beras Basmathi, Beras Jepun dan Beras Merah dengan harga RM21,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurutnya, LZS melantik 2,760 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini dan umat Islam dinasihatkan untuk membayar zakat kepada amil dilantik LZS yang dibekalkan kad tauliah.

Selain itu, pembayaran zakat boleh dilaksanakan di 27 buah cawangan LZS di seluruh negeri dan 14 ejen di IPTA atau IPTS.

Di samping itu, LZS turut menyumbang RM2 juta bagi Imam Terawih kepada 1,000 surau di Negeri Selangor termasuk surau-surau agensi.

“Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) MAIS akan menyerahkan sumbangan raya kepada lebih 8,000 orang anak yatim di negeri ini bernilai RM849,200 termasuk seramai 60 orang anak yatim di Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj, Kampung Pantai Kundur, Melaka dan Rumah Anak Yatim Dato’ Harun, Hulu Klang, Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :