NASIONAL

Majis Penasihat bantu kerajaan tunai janji 100 hari

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 12 MEI: Satu pasukan anggota majlis penasihat dibentuk sebagai penasihat kepada kerajaan bagi kelancaran pentadbiran negara dalam tempoh 100 hari.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pasukan itu dianggotai tenaga pakar untuk menasihati kerajaan dalam isu ekonomi dan kewangan.

“Pasukan ini akan membantu pembentukan dasar dan rancangan bagi mencapai janji 100 hari Pakatan Harapan (PAKATAN) kepada rakyat.

“Oleh itu, jangka hayat pasukan ini adalah 100 hari,” katanya dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Ia akan diketuai mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan disertai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (mantan Gabenor Bank Negara), Tan Sri Hassan Marican (Ketua Pegawai Eksekutif Petronas), Robert Kuok Hock Nien (ahli perniagaan terkenal) serta Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi).

Urusetia pasukan akan diketuai ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid, manakala tokoh kewartawanan negara, Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan.


Pengarang :