NASIONAL

Majlis Penasihat Kerajaan tidak abai kontraktor Bumiputera

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Penasihat Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kontraktor Bumiputera dan akan merangka pelan terbaik membantu mereka.

Pengerusi Eksekutif Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd, Datuk Mokhtar Samad mengesahkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan hampir 20 minit bersama Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

“Saya sendiri mengaku (kontraktor Bumiputera) masih memerlukan tongkat. Kerajaan baharu akan bantu dengan kaedah lebih baik daripada dulu.

“Tun (Daim) dan ahli panelnya memberi jaminan, tidak akan tinggalkan kontraktor Bumiputera kerana ia bukan berkenaan Bumiputera atau bukan Bumiputera tetapi bakat dan kebolehan,” katanya dipetik laporan Astro Awani.

Katanya, terdapat kira-kira 40,000 kontraktor Bumiputera di Malaysia, dengan 22,000 daripadanya kontraktor Kelas F.

“Tun juga adalah pemaju perumahan dan kontraktor, dia faham masalah kami. Jadi kepada semua kontraktor Bumiputera, jangan bimbang dan ragu, kerajaan yang ada sekarang ni akan membantu.

“Tetapi kontraktor Bumiputera hendaklah bersedia menyahut cabaran ini. Sebarang kemajuan mesti berasaskan persaingan,” katanya.


Pengarang :