NASIONAL

Majlis Perunding Pertanian Negara ditubuh

PUTRAJAYA 23 MEI: Majlis Perunding Pertanian Negara akan ditubuhkan bagi menjana idea ke arah memperkasa dan meningkatkan produktiviti industri asas tani seiring keperluan semasa, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh seorang tokoh ternama sektor pertanian selain akan turut melibatkan beberapa nama besar lain yang berupaya memberi nilai tambah.

“Selain meningkatkan produktiviti asas tani, majlis ini juga berperanan menjana cadangan ke arah menambah baik fungsi dan perkhidmatan kementerian secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas memasuki pejabat bagi memulakan tugas rasmi sebagai menteri di sini hari ini.

Beliau berkata, penubuhan majlis itu disasarkan selesai dalam tempoh sebulan, dengan kertas cadangan mengenai penubuhannya akan dikemukakan ke Kabinet pada minggu depan.

Dalam pada itu, Salahuddin mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ismail Bakar menyediakan laporan lengkap berhubung projek National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) untuk penilaian semula dari aspek kejayaan dalam meningkatkan pengeluaran daging lembu negara.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :