NASIONAL

Malaysia mampu muncul setanding negara maju

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Malaysia mampu muncul sebagai negara setanding dengan negara maju lain di dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, misi itu boleh dicapai apabila warga pendidik memainkan peranan melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran serta memiliki keberanian.

“Kita sarat dengan bakat dan ketrampilan untuk membawa Malaysia ke mercu kecemerlangan kempimpinan serantau.

“Saya amat tersentuh dengan perjuangan dan khidmat bakti para guru yang ibarat lilin membakar diri untuk memberi cahaya dalam kegelapan,” katanya pada Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Katanya, dukungan dan komitmen warga pendidik memberi harapan baru kepada sistem pendidikan negara dan seterusnya membangun sebuah Malaysia baru yang gagah, bermaruah dan berwawasan.

Katanya, sudah masanya warga pendidik menterjemah teori pendidikan kepada realiti yang mencakupi pembentukan insan bertamadun.

“Pendidikan bukan sekadar menimba ilmu tetapi juga merupakan proses pembentukan jati diri, menyuburkan nilai moral dan meletakkan asas pembinaan tamadun,” katanya.

=EZY=


Pengarang :