SELANGOR

Maria Chin suntik semangat gadis muda lawan penyakit kronik

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 2 MEI: Calon P.105 Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah memberikan kata-kata semangat kepada Norabaah Kamarudin yang kini menghadapi beberapa penyakit dan memerlukan rawatan lanjut.

Dalam Ziarah Prihatin di Jalan PJS 4/20, Maria memberikan beberapa tips kesihatan kepada Norabaah yang kini mengalami masalah hati, buah pinggang dan jantung.

Lebih menyedihkan beliau baru sahaja diminta berhenti kerja ekoran masalah kesihatan dialami.

Norabaah berkata beliau mula sakit sejak tiga tahun lalu dan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Katanya, beliau yang tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak serta mendapatkan rawatan di hospital berhampiran selain hanya boleh minum air putih dalam kuantiti sedikit.

Bagaimanapun, beliau sentiasa melemparkan senyuman sepanjang pertemuan itu dan kekal positif untuk kembali pulih.

Maria yang meluangkan masa hampir 20 minit meminta gadis berusia 28 tahun itu mengawal pemakanan selain memberikan ‘contact person’ bagi beliau mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

“Saya mendoakan beliau cepat sembuh dan melawan penyakitnya kerana beliau masih muda. Saya percaya beliau kuat menghadapi ujian ini,” katanya.

 


Pengarang :