SELANGOR

Martabat umat Islam terus diangkat

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU KELANG, 5 MEI: Agenda Umat Islam dan orang Melayu tetap dipertahankan habis-habisan sekali gus kepentingan golongan berkenaan di dalam negara ini akan terus terbela.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, khabar angin mengatakan kononnya perubahan di peringkat Persekutuan mendatangkan musibah kepada orang Melayu sama sekali tidak benar.

“Malah, ada yang kata jangan kalahkan Barisan Nasional (BN) kerana nanti orang Melayu akan balik kepada zaman Jepun makan ubi kayu. Sekali lagi saya ingatkan bahawa ini semua mitos,” tegasnya.

Mohamed Azmin berkata, di Selangor ini sahaja sudah 10 tahun Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN), nasib umat Islam dan orang Melayu terjamin lebih aman makmur dan sejahtera berbanding 60 tahun di bawah kerajaan BN.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak akan kompromi agenda umat Islam dan orang Melayu malah akan pertahankan kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Namun, pada masa sama, kita juga perlu berlaku adil kepada golongan yang lain, sedangkan Allah sendiri sudah perintahkan kita untuk berlaku adil kepada semua.

“Ada seorang itu dia adil juga tetapi adilnya pada isteri sahaja, ada RM2.6 bilion dalam akaun, wang besar isteri cincin besar, mahligai besar isteri beg tangan besar semua besar sedangkan rakyat susah. Saya tidak cakap siapa, rakyat pandai menilai,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin tekad untuk terus mengangkat martabat umat Islam dan orang Melayu berteraskan prinsip kebertanggungjawaban, integriti dan melawan rasuah.


Pengarang :