NASIONAL

Mavcom tidak bebankan kerajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merupakan sebuah pengawal selia bebas dan tidak pernah memberi bebanan atau impak kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pemandunya, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, antara alasan Mavcom ditubuhkan di negara ini adalah kerana landskap penerbangan awam yang berkembang dengan pantas

Katanya, penubuhan badan pengawal selia itu antara lain bagi melindungi hak penumpang dan pengguna.

“Pelbagai tuduhan palsu terhadap MAVCOM yang semakin tular di media sosial sejak kebelakangan ini dan sebagai bekas Ahli Jawatankuasa Pemandu yang merangka MAVCOM, saya perlu memastikan sebarang kenyataan yang dibuat berlandaskan fakta.

“Sebagai agensi pengawal selia bebas, MAVCOM diberikan amanah untuk bertanggungjawab memastikan untuk melindungi pengguna dalam industri penerbangan awam di Malaysia.

“Jika terdapat apa-apa masalah, ia adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan peranan yang perlu digalas oleh MAVCOM dalam melindungi hak serta keselamatan penumpang penerbangan awam,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Gani berkata, ketika ini, tiada agensi lain yang menawarkan perkhidmatan mahupun Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MvCC).

Sehubungan itu, katanya, dakwaan bahawa MAVCOM cuba mengambil alih peranan pihak terbabit adalah tidak berasas.

“Penumpang hanya perlu menyumbang RM1 apabila berlepas dari lapangan terbang negara ini, ia sekali gus mencerminkan pelaburan yang berbaloi.

“Bukan itu sahaja, penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada bayaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan yang dikemukakan perlu dibalas dalam tempoh tujuh hari dan diselesaikan mengikut jangka masa maksimum 30 hari.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk bergantung kepada pertimbangan entiti komersial atau dibelenggu ketidakpastian setiap kali berdepan masalah,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :