NASIONAL

MB: Anwar gembira PAKATAN tadbir Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 MEI: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan rasa gembira dengan kejayaan parti itu membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan terhadap pemerintahan negara nyata amat menggembirakan mantan Timbalan Perdana Menteri itu dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Anwar gembira dengan perkembangan berlaku dan pelantikan semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau percaya dengan ketokohan Dr Mahathir disokong rakyat bagi pembangunan Malaysia yang baharu.

“Beliau menjelaskan sokongan rakyat harus diurus dengan baik dan disegerakan pembentukan menteri kabinet supaya dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada media selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan Dato’ Menteri Besar di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, Anwar gembira dengan mandat diberi rakyat dan ia sesuatu penuh bermakna bagi mantannya yang sekian lama berada di dalam penjara.

“Beliau juga gembira kerana proses pelantikan Perdana Menteri berjalan baik dan lancar serta dapat diselesaikan dengan semangat muafakat,” katanya yang bertemu dengan Anwar selepas PRU, baru-baru ini.


Pengarang :