SELANGOR

MB: Isyarat rakyat tanda perubahan

OLEH HAFIZAN TAIB

HULU KELANG, 9 MEI: Rakyat memberi isyarat jelas bagi melakukan perubahan terhadap pentadbiran negara dengan keluar mengundi sejak awal pagi dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkembangan itu adalah satu petanda baik dan rakyat nyata bersedia melakukan perubahan demi masa depan lebih baik.

“Ini membuktikan rakyat mendapat mesej jelas Pakatan Harapan (PAKATAN) supaya keluar awal mengundi melakukan perubahan di peringkat Persekutuan dan mengekalkan Selangor.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada media.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, sambutan memberangsangkan ditunjukkan rakyat di seluruh negara, adalah peringatan jelas akan penolakan terhadap kepimpinan negara diterajui Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“Saya kira masa depan negara akan ditentukan rakyat dan mungkin kita akan menyaksikan perubahan di peringkat Persekutuan demi rakyat dan negara,” katanya berharap rakyat terus keluar mengundi sebelum jam 5 petang.

Mohamed Azmin penyandang Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, ditemani isteri, Datin Seri Shamshida Taharin, mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini.


Pengarang :