NASIONAL

MB: Makan kangkung? Kita manusia bukan itik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyelar sikap pimpinan Barisan Nasional (BN) yang menganggap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak membebankan rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata cukai berangkai itu menyebabkan harga barang dan makanan melonjak naik, sekali gus kos sara hidup meningkat dan membebankan rakyat.

“Kos sara hidup makin tinggi. Harga ikan, ayam, daging, udang, ketam semua mahal. Tetapi Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata tidak mengapa, boleh makan kangkung.

“Orang susah dia suruh makan kangkung. Kita manusia bukan itik. Manusia ada maruah. Ada juga Ahmad Maslan (Datuk Seri Ahmad Maslan) kata GST boleh kurangkan harga barang. Ini pun boleh jadi Menteri ke?

“Kalau Ahmad Maslan ini pun boleh jadi Menteri, memang negara sudah rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, semalam.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Pada masa sama, Timbalan Presiden KEADILAN itu mengulang pendiriannya bahawa, negara tidak akan muflis jika GST tidak dilaksanakan.

Bahkan, sekiranya negara tidak mempunyai pemimpin seperti lanun, maka rasuah dan salah guna kuasa tidak akan wujud dan GST tidak perlu dilaksanakan.


Pengarang :