SELANGOR

MB mengundi di SK Klang Gate

OLEH HAFIZAN TAIB

HULU KELANG, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, hadir di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, di sini, pada kira-kira jam 8.20 pagi ini.

Beliau diiringi isteri, Datin Seri Shamshida Taharin, ke pusat berkenaan bagi menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Kehadiran Mohamed Azmin dan Shamshida mendapat tumpuan pengundi lain termasuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak media.

Mohamed Azmin adalah penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Pada PRU kali ini, beliau dicabar empat calon iaitu Salwa Yunus (BN), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS), Ahmad Kamaruddin (PRM) dan adiknya sendiri, Azwan Ali (Bebas).

Sebelum itu, Azwan hadir lebih awal pada kira-kira jam 7.30 pagi, bagi tujuan sama.

Pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Klang Gate, di sini, hari ini, mula menjadi tumpuan pengundi yang datang berkumpul seawal jam 7 pagi.

Lebih seratus pengundi mula menunaikan tanggungjawab mengundi sebaik sahaja pusat itu dibuka pada jam 8 pagi.

Pelbagai gelagat pengundi dapat dilhat ketika proses itu berjalan yang menyaksikan kemeriahan dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) ini.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu pengundi bagi melancarkan pengundian termasuk warga yang memerlukan bantuan tambahan seperti orang kelainan upaya, warga emas dan sebagainya.

SK Klang Gate adalah pusat pengundian dalam Parlimen Ampang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

=EZY=


Pengarang :