SELANGOR

MB: Pelantikan Exco Kerajaan Negeri pada Isnin

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pelantikan Exco Kerajaan Negeri akan dilakukan pada Isnin ini.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu dijalankan antara parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum dimuktamadkan untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya akan mengadap Sultan Selangor sekali lagi pada Ahad ini dan jika segalanya berjalan lancar majlis angkat sumpah Ahli Majlis Kerajaan Negeri akan diadakan pada Isnin jam 2.30 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan Dato’ Menteri Besar di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, berdasarkan kedudukan semasa sebelumnya, terdapat 10 pelantikan bagi Exco Kerajaan Negeri dengan pecahan empat untuk KEADILAN, tiga (DAP) dan tiga (PAS) namun ia memerlukan perbincangan susulan kerana PAS tidak lagi bersama PAKATAN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, dijangkakan tiada perubahan besar terhadap portfolio sedia ada dan perbincangan akan diteruskan lagi hari ini bagi mencapai kata putus antara parti dalam PAKATAN bagi mengisi kekosongan ditinggalkan PAS.

“Saya serahkan parti masing-masing mengemukakan senarai calon dan yang penting Sultan Selangor menitahkan calon Exco Kerajaan Negeri mesti mempunyai kelayakan dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ini kerana yang penting rakyat berpuas hati dan berdasarkan keputusan PRU, ia menzahirkan kepuasan hati rakyat atas perkhidmatan Exco Kerajaan Negeri dan juga wakil rakyat yang ada sebelum ini,” kata Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat pertama segera pada Rabu depan selepas pelantikan Exco diselesaikan dengan fokus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat di negeri itu.

“Sebagai Dato’ Menteri Besar, saya ingin melihat kerjasama utuh bersama Kerajaan Persekutuan, kini ia diterajui PAKATAN di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya yakin hubungan ini cukup akrab.

“Ia akan memberi manfaat kepada semua dan kita akan mengatasi masalah ekonomi dihadapi dan memenuhi janji kepada rakyat termasuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam masa 100 hari,” katanya.


Pengarang :