BERITA UTAMASELANGOR

MB: Perbincangan tumpu isu pelantikan di Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KLANG, 20 MEI: Pertemuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memfokuskan pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, di peringkat Persekutuan.

Ketika ditanya jumlah nama yang dibawa kepada baginda sebagai calon Dato’ Menteri Besar yang baru, Mohamed Azmin berkata, semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi pihak istana yang akan dikeluarkan, pada jam 9.00 pagi esok.

“Itu tidak (jumlah nama), kita tumpu yang Persekutuan sahaja dulu.

“Apa dibincangkan tadi berkenaan perkembangan semasa pengumuman perdana menteri untuk melantik saya memegang sebuah kementerian yang penting, di Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini selepas beliau menghadiri Solat Tarawih bersama masyarakat Taman Keramat, di Masjid Al-Ansar, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau turut menyembah maklum skop kerja sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi kepada baginda.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar selepas Pakatan Harapan Selangor menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Pengarang :