SELANGOR

MB santuni kariah Surau Taman Permata

OLEH AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 4 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa menunaikan solat Asar berjemaah bersama kariah Surau Taman Permata, Hulu Kelang.

Dalam kesibukan berkempen ke seluruh kawasan ditandingi KEADILAN, beliau memanfaatkan peluang beramah mesra bersama jemaah selain memenuhi permintaan bergambar daripada hadirin.

Kesempatan itu juga dimanfaatkan jawatankuasa surau meluahkan permasalahan kebocoran bumbung yang dialami Surau Taman Permata sejak didirikan, pada 1983.

“Saya sempat berbincang bersama jawatankuasa surau yang menceritakan keperluan pembangunan semula surau yang dibina sejak 1983.

“Umumnya dalam keadaan baik tetapi bahagian bumbung mengalami kebocoran dan mengakibatkan kerosakan di beberapa bahagian lain.

“Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa buat masa ini bagi mengelakkan ia dimanipulasi. InsyaAllah permohonan itu akan dibincangkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, JAIS menerima peruntukan besar bagi menaik taraf dan mempertingkatkan mutu kebajikan institusi Islam seperti surau, masjid dan maahad tahfiz.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengamalkan sikap birokrasi dan bertindak secara responsif terhadap semua permohonan yang dikemukakan.

 


Pengarang :