SELANGOR

MB: Sekarang masanya kita cipta sejarah

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU KELANG, 5 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis mengajak rakyat mencipta sejarah baharu menjadikan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai Kerajaan Persekutuan, pada 9 Mei nanti.

Mohamed Azmin berkata, sejarah yang bakal dicipta itu demi kelangsung hidup generasi akan datang yang lebih terjamin.

“Saya mahu 9 Mei ini kita semua mencipta sejarah baru jadikan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai kerajaan Persekutuan.

“Supaya 40 tahun kemudian apabila cucu cicit kita baca buku Sejarah mereka akan lihat datuk dan nenek mereka mencipta sejarah baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyantuni Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, AU4, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah calon N.18 Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pada masa sama, Mohamed Azmin meminta penduduk di AU4 Hulu Kelang untuk terus mengekalkan Saari Sungib sebagai DUN di kawasan terbabit.

“Calon kita ni memang bersih, peduli rakyat, berwibawa, saya tidak ragu-ragu mahu memutuskan bahawa beliau sememangnya calon Hulu Kelang yang tiada ganti.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua 9 Mei nanti dapat sahaja kertas undi itu terus pangkah nombor tiga, jangan tengok lain, kita tidak banyak masa,” selorohnya.


Pengarang :