SELANGOR

MB: Selamat Hari Gawai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai kepada seluruh rakyat Sarawak.

Mohamed Azmin berkata, Hari Gawai adalah hari istimewa buat masyarakat Dayak di Sarawak menandakan berakhirnya musim menuai dan mulanya musim menanam padi yang baharu.

“Hari Gawai itu juga menandakan meraikan semangat persaudaraan dalam kalangan semua kaum di Sarawak untuk mencari rezeki.

“Tanpa ikatan persaudaraan yang kuat dalam kalangan Dayak di Sarawak, tidak mungkin hasil tuaian yang baik akan dapat diperoleh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, atas semangat persaudaraan yang diraikan, hubungan persaudaran antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan kekal terjalin erat.

Katanya, pengagihan kekayaan negara dengan lebih adil dan saksama kepada Bumi Kenyalang akan menjadi asas penting pembangunan oleh kerajaan sekarang.

“Potensi sebenar Sarawak boleh direalisasikan dengan hala tuju baharu ini, Sarawak tidak akan ditinggalkan lagi.

“Tumpuan pembangunan ekonomi Sarawak akan terarah kepada agenda membasmi kemiskinan, membangun infrastruktur serta membela anak negeri,” katanya.

Mohamed Azmin dalam perutusannya berkata, hak Sarawak ke atas sumber ekonomi yang pelbagai terus dimajukan dalam kerangka Federalisme demi kebaikan rakyat Bumi Kenyalang dengan limpahan kemakmuran pasti akan menaikkan nama Malaysia kembali.

“Atas semangat Hari Gawai, saya menyeru rakyat Sarawak untuk meraikan perayaan ini dengan semangat persaudaraan bersama dengan rakyat Malaysia yang lain,” katanya.


Pengarang :