SELANGOR

MBI agih 2,000 bubur lambuk

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) meneruskan Program Agih Bubur Lambuk CSR MBI Selangor, di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, pihaknya melaksanakan program itu pada Isnin hingga Jumaat dengan mengedarkan 2,000 bubur lambuk bermula jam 3.30 petang.

“Kita memperuntukkan 1,500 bubur lambuk untuk orang ramai, manakala 500 lagi diagihkan kepada warga kerja di Bangunan Darul Ehsan Shah Alam (SUK 2) dan anak syarikat MBI.

“Ini adalah jelajah keempat dilaksanakan sejak awal Ramadan tahun ini dengan sebelum ini kita agihkan di beberapa lokasi lain antaranya Putrajaya, Shah Alam dan Batu Caves,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Soffan berkata, pihaknya juga turut merancang untuk meneruskan program itu kepada gelandangan.

“Kita juga sudah berbincang dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjayakannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporatnya, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, MBI meluaskan skop agihan kepada 19 destinasi berberza, termasuk Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

“Lebih menarik, kita mengagihkan bubur lambuk berperisa kambing kuzi yang sememangnya sedap untuk dinikmati masyarakat ketika berbuka puasa,” katanya.


Pengarang :