SELANGOR

MBS komited bersama Kerajaan Negeri perkasa golongan muda

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Belia Selangor (MBS) komited bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan objektif golongan muda dapat dicapai.

MBS dalam kenyataannnya memaklumkan, objektif pembangunan kapasiti dan perjuangan hak belia akan terus diperkasakan di Selangor.

“Atas dasar prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, kami sedia membantu dengan memberikan pandangan serta cadangan untuk golongan muda,” katanya dalam kenyataan.

MBS selaku badan induk untuk persatuan belia berdaftar dibawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 memainkan peranan selaras dengan peruntukan undang-undang demi pembangunan golongan belia di Selangor.

“Kami berharap Majlis Belia Daerah dan seluruh badan gabungan yang lain akan terus memainkan peranan untuk menjadi satu landasan kepada golongan belia menyuarakan pendapat dan cadangan mereka di masa akan datang.” katanya.

Sementara itu, MBS turut mengucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang berjaya mengekalkan Kerajaan Negeri dan membentuk Kerajaan Persekutuan.


Pengarang :