SELANGOR

MBSA sedia 6 lokasi minyak masak terpakai

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan tong pengumpulan minyak masak terpakai untuk kemudahan peniaga bazar ramadan di enam lokasi sekitar Shah Alam.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, tong tersebut disediakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dibeberapa lokasi antaranya di Seksyen 6, Seksyen 11, Seksyen 17, Seksyen 25, Seksyen U8 dan U13

“Usaha ini bagi menggalakkan orang ramai khususnya peniaga bazar supaya tidak membuang minyak masak terpakai ke atas rumput atau dalam longkang.

“Hal ini bertujuan memupuk kesedaran orang awam untuk menjaga alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Bazar Ramadan Mampan Peringkat MBSA 2018 di tapak bazar Seksyen 17, semalam.

Program itu diteruskan menggunakan konsep ‘waste to wealth’ dimana komuniti boleh menjana pendapatan dengan setiap 1kg minyak masak terpakai dibayar dengan harga RM1 oleh MBSA.

Untuk rekod, program kitar semula minyak masak telah dilaksanakan di kawasan MBSA sejak 2009.

MBSA juga menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil tong bagi pengumpulan minyak masak untuk restoran, kantin, kilang makanan dan hotel dengan kapasiti tong adalah 60 liter, 200 liter dan 1,000 liter.


Pengarang :