PBT SELANGOR

MDKL: Operasi sambungan bangunan hingga Jun 2020

OLEH NORHAYATI UMOR

BANTING, 21 MEI: Binaan tambahan bangunan yang dilakukan tanpa kelulusan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) adalah satu kesalahan dan tindakan selanjutnya boleh dikenakan terhadap pemilik rumah terbabit.

Yang DiPertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya sedang melaksanakan operasi pemutihan bagi rumah yang dibina, bermula 1 Januari 2007 hingga 31 Mei 2017.

Katanya, operasi yang sedang berjalan itu akan dilaksanakan, sehingga 30 Jun 2020.

“Pemutihan ini hanya tertumpu kepada binaan tambahan dan ubah suai rumah kediaman jenis teres. Binaan tambahan serta ubah suai yang dibina tidak mengikut pelan bangunan yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, operasi itu juga membabitkan rumah teres jenis 1 tingkat, 1½ tingkat, 2 tingkat, 2½ tingkat dan 3 tingkat sahaja.

Katanya, ia tidak membabitkan bangunan tambahan di atas tanah kerajaan atau rezab jalan.

“Selain itu, operasi ini juga tidak membabitkan untuk rumah jenis bandar (town house), cluster, berkembar, banglo dan hak milik strata,” katanya.

Pada masa sama, katanya, mana-mana struktur tambahan dan ubah suai di bawah tarikh 31 Disember 2016 yang tidak mempunyai kelulusan pelan bangunan daripada MDKL, maka pihak terbabit hanya akan dikenakan syarat seperti dikecualikan daripada pemutihan itu dan cukai taksiran akan dinilai semula.

“Manakala, dikenakan bayaran cukai taksiran baharu berdasarkan pengukuran yang akan dibuat.

“Selain itu, mana-mana struktur tambahan dan ubah suai yang dibina tanpa kelulusan dan melencong selepas tarikh itu adalah tidak termasuk dalam operasi ini,” katanya.

Katany, kepada pemilik rumah yang terbabit perlu segera hadir ke Jabatan Kawalan Bangunan, MDKL, atau boleh menghubungi talian 03-32872825/03-31872732 bagi mendapatkan keterangan dan maklumat lanjut.


Pengarang :