NASIONAL

Media perlu jadi semak dan imbang bukan pengampu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu media berhenti daripada mengampu pemimpin kerajaan dengan menerbitkan berita baik.

Beliau juga mahu media berperanan serius menimbang dan menyediakan berita seimbang dalam negara ini.

“Cara media mengampu menyebabkan pemimpin itu rosak.

“Memang, ramai pihak gembira apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) menang dan ramai yang sokong PAKATAN.

“Namun, selepas reda, media berhak menegur dan mengkritik Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan,” katanya di Pulau Pinang, semalam.

Pada masa sama, Anwar mahu ahli politik juga berlapang dada dan menerima kritikan dan tidak menghentam media kerananya.

“Ia menjadi contoh bagaimana media sebelum ini mengampu pemimpin dengan menyiarkan berita palsu.

“Dia ini pemimpin terbaik dunia. Ekonomi terbaik. Pendidikan? Juga terbaik di dunia. Kesihatan? Terbaik di dunia.

“Haprak, penipu semuanya. Sebab itu kita mesti terima kenyataan. Media seperti mana suara rakyat harus bebas untuk memberikan pandangan dan teguran dan pemimpin tidak harus bertindak melenting seperti pemimpin Umno,” katanya.

Pada Pilihanraya Umum Ke 14, PAKATAN berjaya membawa tsunami rakyat, sekali gus berjaya menukar pentabiran sejak 61 tahun lalu.

Ia sekali gus menyaksikan berita akhbar dan televisyen menukar berita cemuhan kepada mereka kepada berita-berita indah.

=EZY=

 


Pengarang :