AGAMASELANGOR

Medium baru JAIS jawab kemusykilan agama

OLEH NORHAYATI UMOR

SUNGAI BESAR, 23 MEI: Bagi melestarikan slogan ‘Dakwah Rentas Sempadan’, tahun ini Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjadikan medium laman sosial sebagai kaedah penerangan berkaitan kemusykilan agama.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, medium itu membabitkan Facebook, laman Web JAIS, portal, blog dan Whatsapp.

“JAIS turut merangka beberapa siri program yang menyantuni umat Islam, saudara baru dan masyarakat bukan Islam di Selangor.

“Antaranya, program Sambutan Tahun Baru Cina 2018 yang bertujuan untuk menghakis persepsi negatif bangsa Tionghua, bahawa budaya nenek moyang akan ditinggalkan apabila memeluk Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat, penyampaian sumbangan Hari Raya 1439H serta perasmian masjid.

Pada masa sama, katanya, JAIS turut akan mengadakan Program Perkaderan Muallaf dan Program Berbuka Puasa pada bulan Ramadan.

Katanya, kedua-dua program itu dilaksanakan dengan pembabitan daripada pelbagai budaya dan agama.

“Ia membabitkan golongan mualaf, Kristian, Buddha dan Hindu.

“Diharapkan, program seperti ini mampu untuk mewujudkan suasana harmoni dalam amalan keagamaan antara agama yang berbeza,” katanya.

 


Pengarang :