NASIONAL

Mengundi, anda dapat ganjaran!

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Hanya tinggal satu hari saja lagi rakyat negara ini akan turun mengundi.

Menariknya, menjelang 9 Mei itu, pelbagai syarikat mengambil kesempatan mempromosikan produk mereka dengan cara yang unik.

Melalui laman web ‘Contest and Events Malaysia’ memberitahu, mana-mana pengundi yang sudah selesai membuang undi layak menebus pelbagai ganjaran disediakan syarikat terlibat.

“Tunjuk sahaja jari anda yang sudah mempunyai dakwat, anda boleh menebus pelbagai ganjaran menarik,” demikian menurut kenyataan laman web berkenaan.

Antara ganjaran disediakan termasuk teh tarik dan nasi lemak percuma oleh Restoran terkemuka, Plan B.

Pengundi boleh menebus kedua-dua menu berkenaan di Plan B Publika, Mid Valley dan Ipoh, turut tidak ketinggalan, Bens Pavilion, KLCC, Gardens dan Bens Publika.

Sementara itu Restoran Dave Deli’s pula menyediakan 100 kek brownies percuma kepada pengundi di semua cawangannya di seluruh Malaysia.

Lebih menarik, ada juga syarikat membaiki kenderaan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kereta secara percuma bagi membolehkan pengundi pulang dengan selamat.

Kedai yang dinamakan Lim Tayar itu menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bermula semalam sehingga harini ini.

Melalui kenyataan di facebook, bengkel tersebut menawarkan pemeriksaan tayar, minyak hitam dan brek.

Untuk maklumat lanjut, pengundi boleh melayari laman web http://bit.ly/GE14FreeChecks.

Sementara itu syarikat kecantikan, POSH Nail Spa pula menawarkan perkhidmatan membersihkan kuku secara percuma kepada semua pengundi.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan sukar sekiranya jari anda tidak bersih, jadi kami menawarkan khidmat membersihkan kuku secara percuma, anda hanya perlu hubungi POSH Nail Spa di talian 03 77241890 atau 0378770815,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menurut statistik SPR, daftar pemilih suku keempat tahun 2017, menyenaraikan 14,940,624 pengundi melibatkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58%) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42%).

Sementara itu Selangor merekodkan jumlah pemilih berdaftar paling tinggi iaitu 2,415,074 orang yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-14.


Pengarang :