PBTSELANGOR

Mesyuarat bincang lantikan ahli majlis 5 Jun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 28 MEI: Mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi ahli majlis di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diadakan, pada 5 Jun ini.

Naib Pengerusi KEADILAN Selangor, Hee Loy Sian berkata, agihan itu membabitkan kesemua parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, ia akan menggunakan formula agihan yang boleh diterima semua parti.

“Situasi kini berlainan kerana PAS tidak lagi dalam PAKATAN dan menyaksikan dua parti baharu, iaitu AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Jadi, kita akan memutuskan peratusan agihan ini mengikut formula yang akan diterima semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin memaklumkan pihaknya belum menerima senarai nama ahli majlis baharu.

Katanya, lantikan ahli majlis sebelum ini akan tamat, pada 30 Jun ini.

Sebelum itu, ahli majlis PAS di beberapa PBT sudah meletakkan jawatan selepas parti berkenaan mengalami kekalahan teruk di Selangor, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Kebanyakan daripada mereka difahamkan menyerahkan surat perletakan jawatan, pada 14 Mei lalu.

Antara nama yang tersenarai meletak jawatan adalah Kahar Muzakkir Munawir, Prasad Hanif, Azimah Muda, Mohamad Baseri Mohd Taib dan K Deepakaran dari MPK.

Sementara itu, dua ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), iaitu Mohd Ghazali Daud dan Ariffin Mahaiyuddin meletakkan jawatan kerana menjadi calon dan bertanding dalam PRU14.

Katanya, dua lagi ahli majlis MBPJ yang meletak jawatan berkuat kuasa, pada 14 Mei lalu ialah Azri Mohd Arish dan Azizi Ariffin.


Pengarang :