SELANGOR

Millennial disaran mengundi ubah masa depan negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 MEI: Golongan millennial perlu menterjemahkan ketidakpuasan hati menerusi undi supaya suara mereka dapat didengari.

Calon KEADILAN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) menawarkan masa depan terbaik buat golongan itu.

Katanya, anak muda perlu memikirkan masa depan dan peluang pekerjaan, sekali gus mengubah keadaan negara ketika ini.

“Saya mahu anak muda turun mengundi pada 9 Mei ini. Yang layak mengundi bantu kami ubah keadaan negara dan pastikan kemenangan milik PAKATAN kerana kami mahu membantu anda semua memberi masa depan lebih baik.

“Jika ada kelapangan datang mana-mana bilik gerakan, tidak kira di Selangor atau mana-mana negeri lain untuk jentera memberi penerangan,” katanya.

Manifesto PAKATAN menggariskan lima teras utama, iaitu meringankan beban kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik, merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 serta membina Malaysia yang inklusif, moderat juga gemilang di persada dunia.

Selain itu ia turut memberi perhatian kepada 10 janji dalam tempoh 100 hari, 60 janji dalam tempoh lima tahun dan lima iltizam khusus.

Antara 10 janji itu termasuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, hapus hutang peneroka Felda, KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan kaji semula projek mega.

 


Pengarang :