NASIONAL

Minta kertas undi lain jika ada titik ‘dot’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 5 MEI: Pengundi disaran supaya memeriksa kertas undian dengan teliti sebelum mengundi bagi mengelakkan undian masing-masing diklasfikasikan sebagai undi rosak.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor daripada KEADILAN berkata, hal ini berikutan tanda ‘dot’ di dalam kotak disediakan boleh menyebabkan undi ditolak.

“Bila dapat kertas undi, periksa betul-betul tiada tanda ‘dot’ di dalam kotak yang disediakan kerana apabila tiba proses pengiraan, undi itu akan ditolak,” kata Shatiri pada program ceramah kelompok di sini, malam tadi.

Jelasnya, tidak mustahil Barisan Nasional (BN) menggunakan helah ini bagi mempertahankan kuasa di peringkat persekutuan dan merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Terdahulu, Othman Ludin, 66, yang terlibat sebagai Agen Pengundian dan Agen Pengiraan (PACA) kira-kira lima PRU memberitahu, tanda dot mampu memberi kesan kepada kelancaran proses pengiraan undi.

Beliau berkata, tanda dot di dalam kotak dalam kertas undi boleh menyebabkan undian itu dianggap sebagai undi meragukan dan ditolak.

“Apabila semasa kira undi pegawai SPR menunjukkan kertas undi bertitik ini, kita akan sisihkan kertas undi tadi ke tepi dahulu kerana dianggap undi meragukan dan kita sambung mengira kertas undi lain dahulu.

“Apabila selesai mengira, barulah kita semak semula kertas-kertas undi meragukan tadi dan melihat dengan lebih teliti adakah tanda itu disebabkan cetakan atau ditanda oleh pengundi sendiri,” katanya.

Jelasnya, sekiranya tanda dot itu disebabkan isu percetakan, maka undi tadi diterima dan sekiranya disebabkan dot itu ditanda oleh pengundi undi terbabit akan dianggap sebagai undi rosak.

Katanya, kebijaksanaan dan ketegasan PACA dalam hal ini amat penting bagi memastikan proses pengiraan undi berjalan dengan sempurna.

=EZY=


Pengarang :