BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin berat hati tinggalkan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengakui berat hati meninggalkan rakyat Selangor selepas bersetuju menerima jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Mohamed Azmin berkata, beliau turut terharu dengan sokongan padu yang diberikan rakyat Selangor terutama anggota perkhidmatan awam dan anak muda.

“Sesungguhnya Selangor amat dekat di hati sanubari saya. Saya amat terkesan dengan permintaan rakyat yang dizahirkan secara terbuka menerusi media sosial supaya terus kekal memimpin Selangor.

“Percayalah, saya akan terus bersama rakyat Selangor meneruskan kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini. Tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Ini adalah seruan negara. Saya mempunyai tanggungjawab untuk memberikan khidmat dan bakti kepada bangsa juga negara,” katanya melalui kenyataan media, di sini, hari ini.

Memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor sejak 2014, Mohamed Azmin turut menzahirkan rasa terima kasih di atas titah nasihat dan pedoman yang diberikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sepanjang mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, nasihat dan pedoman baginda memperkukuh keyakinan beliau bagi mengangkat Selangor ke tahap lebih tinggi.

“Terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melantik saya menyertai kabinet. Saya menerima amanah dan tanggungjawab ini dengan kesedaran untuk melaksanakan reformasi ekonomi demi menyelamatkan negara daripada krisis akibat kecelaruan dasar pentadbiran, sebelum ini.

“Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada usaha membangun sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Menjadi iltizam saya untuk memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia di kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini. Saya juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana dengan kekayaan negara akan diagihkan secara adil dan saksama,” katanya.


Pengarang :