BERITA UTAMASELANGOR

Mohamed Azmin kekal Dato’ Menteri Besar Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata, Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Dato’ Menteri Besar itu akan diadakan esok, jam 3 petang di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

“DYMM Sultan Selangor juga berkenan untuk pentadbiran Kerajaan Negeri dibentuk secepat mungkin selepas mendapat mandat daripada rakyat.

“Ia bagi memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri dan keharmonian serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Munir berkata Mohamed Azmin menyembah maklumkan kepada baginda bahawa beliau sudah mendapat sokongan daripada Ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar.

Mohamed Azmin selesai mengadap baginda di Istana Bukit Kayangan sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Sesi itu difahamkan bagi memohon perkenan membentuk Kerajaan Negeri dan pelantikan Dato’ Menteri Besar.

=EZY=

 


Pengarang :