BERITA UTAMASELANGOR

Mohamed Azmin mengadap Sultan Sharafuddin maklum keputusan PRU14

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MEI : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memaklumkan keputusan penuh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tengah hari tadi.

“Sultan Sharafuddin menitahkan saya mengadap hari ini untuk memaklumkan keputusan PRU14, bagi Selangor.

“Saya sudah menyembah maklum kepada tuanku berhubung kejayaan besar Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor dan berjaya memperoleh 51 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan ‘super majority’ selain 20 kerusi Parlimen, di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan media.

Mohamed Azmin berkata, keputusan itu sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri yang stabil dan kuat dibentuk untuk meneruskan agenda pembangunan serta menjana pertumbuhan ekonomi bagi kemakmuran negeri.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Sultan Sharafuddin juga berkenan untuk mengadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Dato’ Menteri Besar Selangor, esok, jam 3 petang, di Istana Alam Shah, Klang.

“Menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Selangor untuk melantik saya sebagai Dato’ Menteri Besar, bagi penggal baru ini.

“Susulan daripada majlis mengadap, saya turut memaklumkan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung titah baginda membabitkan hal ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir di Istana Bukit Kayangan sekitar jam 11.50 pagi dan selesai mengadap Sultan Sharafuddin, sekitar jam 1.20 tengah hari.


Pengarang :