BERITA UTAMASELANGOR

Mohamed Azmin sah lepas jawatan Dato’ Menteri Besar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus melepaskan jawatan Dato’ Menteri Besar.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata, Mohamed Azmin kekal memegang jawatan itu sehingga tempoh peralihan kuasa kepada Dato’ Menteri Besar baru dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

“Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan senarai calon Dato’ Menteri Besar yang baru untuk penelitian dan perkenan baginda sebelum lantikan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Munir berkata, Mohamad Azmin sudah menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin dengan menyatakan persetujuannya menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan, sebelum ini.

“Keputusan itu dibuat selepas mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung skop kerja serta bidang kuasa kementerian yang baru.

“Proses terbabit dilaksanakan selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :