BERITA UTAMANASIONAL

Mohamed Azmin seru realisasikan harapan baru rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyifatkan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah tsunami di seluruh negara untuk kerusi negeri dan Parlimen.

Katanya, ia bukan 100 peratus tsunami Malaysia, Melayu, Cina dan India tetapi rakyat.

“Hari ini, kita merayakan kemenangan rakyat iaitu satu kemenangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Hari ini, kita merayakan sejarah yang dicipta.

“Hari ini, kita merayakan kuasa demokrasi, kuasa rakyat. Rakyat Selangor dan Malaysia bersuara dengan jelas dan lantang iaitu menamatkan Barisan Nasional untuk Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Malaysia nyata memilih demokrasi berperlembagaan daripada kleptokrasi selain kedaulatan undang-undang berbanding kehendak sekumpulan orang.

“Rakyat juga memilih keadilan berbanding ketidakadilan. Rakyat mahukan masa depan baharu untuk mereka, anak mereka dan generasi akan datang.

“Sekarang, rakyat meletakkan kepercayaan kepada kita, satu amanah yang amat murni, namun berat dipikul.

“Justeru, kita perlu bekerja keras untuk menunaikan ikrar dan kita akan merealisasikannya.

“Hari ini, menandakan harapan baru untuk bangsa dan rakyat Malaysia boleh memandang ke depan bagi memulakan bab baru demi negara,” katanya.

Pada masa sama, di Selangor, beliau berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri juga menyaksikan PAKATAN memenangi 51 kerusi atau 91 peratus.

Dato’ Menteri Besar itu juga berkata, ia adalah keputusan cemerlang melangkaui jangkaan.

“Di Selangor, kita menyaksikan majoriti besar memihak Pakatan Harapan. Kita menang 51 daripada 56 kerusi di negeri iaitu sebanyak 91 peratus.

“Ini adalah keputusan cemerlang melangkaui jangkaan iaitu menang 40 kerusi. Saya terharu dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat terhadap prinsip dan dasar kita,” katanya.


Pengarang :