PBTSELANGOR

MPK mahu kawasan pentadbirannya bebas plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 28 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited memastikan kawasan pentadbirannya bebas plastik selaras hasrat Kerajaan Negeri dalam memastikan alam sekitar terjaga.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, hal itu kerana pihaknya membelanjakan hampir RM45 juta setahun bagi pembersihan, pembuangan dan pelupusan sampah.

“MPK membelanjakan RM700,000 sebulan bagi kos pembuangan sampah, di Jeram manakala MPK melantik KDEB Waste Management bagi pengurusan sisa pepejal dengan memperuntukkan RM25 juta.

“MPK juga menanggung kos pembersihan sampah terbuang RM20 juta daripada jumlah keseluruhan ini, justeru ia menelan belanja tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bazar Ramadan Mampan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di Lobi Pusat Beli Belah GM Klang, di sini.

Pada masa sama, Mohamad Yasid berkata, program bazar Ramadan mampan itu bertujuan mendidik masyarakat dengan membawa bekas makanan dari rumah.

Katanya, ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar.

“Setiap individu perlu ada kesedaran sedemikian. Bekas makanan atau beg kitar semula perlu dibawa bagi memastikan tiada lagi penggunaan beg plastik,” katanya.

Pada program itu, MPK turut mengedarkan 1,000 beg kitar semula kepada pengunjung GM Klang.

 


Pengarang :