SELANGOR

MPK PBT pertama laksana apps Smart Parking

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 25 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dalam melaksanakan aplikasi Smart Parking, berkuatkuasa 1 Jun depan.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, menerusi aplikasi Smart Parking MPKlang itu, inovasi ‘cashless society’ yang akan diterokai membolehkan penduduk Klang membuat bayaran parkir kereta tanpa membawa wang tunai.

Katanya, transaksi pembelian kupon hanya berlaku menerusi telefon pintar sahaja.

“Dalam pembentangan belanjawan negeri 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa Selangor ke arah Smart State terulung di rantau Asean menjelang 2025.

“Beliau juga mahu melihat Selangor berjaya mempraktikkan ‘Cashless Society’ menjelang 2022 dan membina infrastruktur serta masyarakat yang ‘cashless’.

“Cashless yang dimaksudkan adalah konsep penggunaan kad kredit, kad debit, cek, kiosk, E Wallet dan online baking bagi menggantikan penggunaan wang tunai bagi sebarang urusan pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Aplikasi Smart Parking MPKlang, di sini.

Mohamad Yasid berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menggunakan telefon pintar menerusi ‘android play store’ atau ‘apple aps store’.

“Pengguna perlu mendaftar nombor kenderaan di dalam aplikasi itu. Uniknya, seorang pengguna boleh mendaftar seberapa banyak kenderaan yang mereka perlukan.

“Amaun top up yang ditawarkan adalah RM10, RM20 atau RM50 dan dibayar melalui akaun semasa, kad kedit atau kad debit masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi tindakan penguatkuasaan, aplikasi itu diintegrasikan dengan mesin Smart Rugged Phone bagi menyemak sekiranya pengguna sudah membuat bayaran.

Katanya, aplikasi itu juga mengeluarkan peringatan kepada pengguna sebaik tempoh kupon elektronik hampir tamat tempoh.

Setakat ini, 35,000 petak parkir di kawasan pentadbiran MPK, dan RM7.5 juta dikutip dari hasil bayaran parkir.

“Selain MPK, Johor Bahru dan Melaka turut mengambil inisiatif itu, oleh itu, aplikasi ini boleh digunakan ketika berada di negeri terbabit,” katanya.

 

 


Pengarang :