PBTSELANGOR

MPK terima The Green Era Award, Berlin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima pengiktirafan dan penganugerahan The Green Era Award Berlin di German, baru-baru ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada MPK kerana menunjukkan pelaksanaan amalan kemampanan di dalam perancangan pembangunan bandar.

Katanya, antara negara lain yang mendapat pengiktirafan sama ialah Perancis, Oman, Abu Dhabi dan Arab Saudi.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada kumpulan pasukan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon (LCCF) daripada Jabatan Perancang Bandar atas kejayaan di peringkat antarabangsa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan, baru-baru ini.

Sementara itu, Kumpulan Reco daripada Jabatan Pelesenan dan Penjaja muncul Juara Pertandingan Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) MPK, bagi kategori Hybrid.

Manakala, QR Tree (Jabatan Taman Dan Rekreasi) pula di tempat kedua.

Bagi kategori Penciptaan, Go Green Elite (Jabatan Perkhidmat Dan Persekitaran) muncul juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.

Selain itu, RV Box (Jabatan Kejuruteraan) pula naib juara serta kategori Penambahbaikan,Revolusi (Jabatan Kewangan) mengungguli kategori dan di tempat kedua dimenangi oleh Corporate Planet (Jabatan Komunikasi Korporat).

Mohamad Yasid berkata, Mini KIK yang diadakan itu bertujuan menyemarakkan serta membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan warga MPK di samping memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada kakitangan yang terlibat dalam program berkenaan.

“Mini konvensyen ini dapat mengenal pasti idea baharu yang boleh diaplikasikan MPK bagi mendepani sistem penyampaian dan menyediakan pasukan terbaik seterusnya mewakili MPK dalam pertandingan inovasi di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Malah wakil MPK yang menerima Anugerah Green World, Emiriah Arab Bersatu baru-baru melalui projek Go Green ECOGEN (Aplikasi Digital Recycle Bank MPK) serta The Green Era Award Berlin juga hasil daripada Mini KIK yang kita adakan sebelum ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :