SELANGOR

MPP tolak usul BN naik taraf UNISEL

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Selangor (UNISEL) membantah sekerasnya manifesto Barisan Nasional (BN) yang mahu menaik taraf universiti berkenaan kepada institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Presiden MPP UNISEL, Keshwin Babu Subramaniam berkata, UNISEL tidak mempunyai masalah sehingga ia perlu dinaik taraf dari institut pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada IPTA.

Malah, katanya, isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan BN, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika UNISEL dijadikan IPTA, ia akan menafikan hak ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat memasuki IPTA.

“Untuk pengetahuan, walaupun kami bergelar IPTS, namun yuran pengajian di UNISEL masih relevan dan disebabkan itulah ramai memilih universiti ini untuk menyambung pengajian.

“MPP UNISEL sebulat suara membantah cadangan BN yang mahu menaik taraf UNISEL dari IPTS kepada IPTA,” katanya dalam sidang media.

Pada 8 April lalu, BN Selangor melancarkan manifesto 10 program merangkumi 100 inisiatif untuk rakyat Selangor jika berjaya merampas semula negeri itu, pada PRU14.

Pengerusi BN Selangor,Tan Sri Noh Omar pada waktu itu mengumumkan salah satu manifesto BN ialah UNISEL dinaik taraf sebagai universiti awam.

Pada masa sama, Keshwin berkata, UNISEL membangun sama seperti IPTA sedia ada di negara ini.

Katanya, infrastruktur, mahasiswa mahupun tenaga pengajar adalah berkualiti tinggi, malah graduan UNISEL rata-ratanya berjaya menempatkan diri dalam bidang pekerjaan.

“Jika UNISEL dijadikan IPTA, sudah tentu akan wujudnya kuota seperti pengambilan pelajar akan terhad.

“Untuk pengetahuan, yuran pengajian kami berbeza dengan IPTS lain, bagi diploma, UNISEL menawarkan yuran di bawah RM20,000, namun IPTS lain boleh mencecah hingga RM40,000.

“Disebabkan itulah kami membantah keras naik taraf status IPTA ini, MPP UNISEL mahu BN lebih fokus kepada isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini dilihat semakin meruncing,” katanya.


Pengarang :