SELANGOR

MPSJ komited laksana bandar mesra wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM,18 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan Lab MPSJ Bandar Hijau Mesra Wanita di Kinrara Resort, pada 15 Mei lalu.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, lab itu diadakan bertujuan memperkasakan kerjasama awam swasta bagi mendapatkan pandangan membentuk rangka kerja Bandar Hijau Mesra Wanita MPSJ.

“Subang Jaya merupakan sebuah bandar dengan jumlah penduduk 790,000 dan dianggarkan 64 peratus daripadanya adalah perempuan.

“Selaras dengan matlamat Lokal Agenda 21, penyertaan masyarakat dalam pembangunan perbandaran dan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030, kita komited berusaha mempertingkatkan perkhidmatan serta pembangunan bagi mencapai sasaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menjadi bandar mesra wanita di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, ia selaras dengan saranan Kerajaan Negeri yang mahukan MPSJ sebagai PBT pertama melaksanakan Bandar Mesra Wanita.

Beliau berkata, antara objektif lain pelaksanaan lab itu adalah bagi mengenal pasti aspek atau elemen dalam aktiviti penambahbaikan dan penjenamaan Bandar Hijau Mesra Wanita MPSJ 2030 yang berkait dengan program promosi dan penambahan fasiliti terkini mengikut keperluan dan kehendak pelanggan.

Terdahulu, Lab MPSJ Bandar Hijau Mesra Wanita itu disertai 120 peserta membabitkan wakil Jawatankuasa penduduk, pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta rakan sinergi, Sunway Medical Centre.


Pengarang :