SELANGOR

Muafakat PAKATAN, pilihan rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 10 MEI: Muafakat Pakatan Harapan (PAKATAN) yang dipertahankan gabungan itu menjadi asas terbaik kepada rakyat mengekalkan mandat pentadbiran komponen di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, semangat tinggi rakyat mengekalkan PAKATAN turut didorong semangat tinggi, menolak kepimpinan rakus pentadbiran Kerajaan Pusat terdahulu.

“Rakyat berani membuat perubahan kerana tuntutan hal berbangkit dalam soal ekonomi dan sosial berdasarkan penyelesaian dan tawaran di bawah manifesto PAKATAN.

“Rakyat bukan hanya mengekalkan Kerajaan Selangor tetapi membantu PAKATAN menang enam negeri lain untuk perubahan,” katanya, kepada SelangorKini.

Hilman merupakan pimpinan muda PAKATAN yang diberi mandat masyarakat Gombak Setia untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Kata Hilman, kepercayaan itu akan dizahirkan secara konsisten dengan memberi tumpuan kepada pembangunan agenda golongan muda di Selangor.

Muhammad Hilman menewaskan penyandang Dun Gombak Setia dari Pas, Hasbullah Ridzwan dan BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dengan majoriti 12,399 undi.

Terdahulu, Hilman yang berusia 29 tahun merupakan lulusan Ijazah Sains Politik dari UKM dan berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sejak 2013.


Pengarang :