NASIONAL

Muhyiddin: Anwar bantu Mahathir gerak pembaharuan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 MEI: Pembebasan Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan proses pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan pengalaman dimiliki mantan Timbalan Perdana Menteri itu, diyakini membawa kebaikan kepada negara seperti mana dizahirkan ketika membentuk gandingan bersama Dr Mahathir pada masa dahulu.

“Dengan kembalinya Anwar, kita akan melihat satu anjakan perubahan besar dalam pentadbiran negara di bawah pimpinan Dr Mahathir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Melalui kerjasama pimpinan PAKATAN lain, kita akan berusaha mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara terulung dan terbaik yang mengamalkan sistem demokrasi tulen dengan harapan negara akan menempoh masa depan gemilang,” katanya dalam Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur Amcorp Mall, malam tadi.

Presiden BERSATU itu berkata, kerajaan PAKATAN kini menumpukan perhatian bagi menggerakkan program reformasi dipersetujui bersama seperti terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, kerajaan akan melaksanakan perubahan dalam tempoh 100 hari bagi menunaikan janji antaranya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Jun.

“Kita juga akan mengambil tindakan kepada pihak bertanggungjawab dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk Datuk Seri Najib Razak serta pihak lain terbabit dalam melakukan kesalahan untuk dihadap ke muka pengadilan,” katanya.


Pengarang :